Thursday, May 8, 2008

Di manakah keyakinan?

Setinggi-tinggi gunung,
yang sekeras-keras batu,
pernah runtuh,
tatkala seorang insan,
satu ketika dahulu
pernah mencari keyakinan.
Insan itu jatuh pengsan,
seraya meraung menangis
dalam kebahagiaan,
setelah bertemu keyakinan,
yang dicari juga oleh insan-insan,
sebelum dan selepas zamannya.

Cuma sayang sekali,
hari ini,
keyakinan untuk mencari sudah hilang,
jauh sekali bertemu keyakinan yang dirasai,
insan itu.

Friday, May 2, 2008

Sampai saat

Sebelum sampai saatnya,
kita tetap melalui,
satu-satu saat,
tanpa ketinggalan.

Thursday, April 17, 2008

Warna

Warna apakah untuk bayi itu?
Hitam?
Merah?
Hijau?
Biru?
Warna-warna yang nantinya membina tembok,
warna-warna yang meluaskan jurang,
warna-warna yang memalsukan,
warna-warna pertelagahan,
sedangkan bayi itu,
lahirnya putih.
Kenapa tidak warnakannya dengan putih?
Supaya pulangnya nanti bertemu dia,
seperti mana warna asalnya.

Monday, April 14, 2008

Erti gila

Selalukah kita menjerkah,
sesudah hilang daya tahan,
pada amarahnya rasa?

Aku selalu.
Dulu aku suka menjerkah pada,
sesiapa pun
tanpa kecuali.

Kenapa?

Rumitnya untuk menjawab,
tetapi aku rasa jawabnya hanya satu:
Ego.
Bagai iblis pada hari pertamanya Adam,
betapa angkuh tidak mahu tunduk.

Wednesday, April 9, 2008

Aduhai...

Aduhai,
enaknya roti kosong
sebagai makan malam,
untuk pendatang asing
jiran-jiranku,
setiap hari.

Wednesday, April 2, 2008

Sama tak serupa

Dalam cili ada pedas,
dalam pedas tiada cili,
Dalam tebu ada manis,
tiada tebu di dalam manis.

Tiada pedas tanpa cili,
tiada manis tanpa tebu.

Tiada aku kerana dia,
mustahil aku tanpa dia,
Kasih aku kasih dia,
cinta aku cinta dia.

Friday, March 21, 2008

Sebaik-baik kejadian

Dalam manusia ada syurga
yang menyendiri.
Dalam manusia ada neraka
yang tersendiri.
Syurga itu kedamaian,
neraka itulah kesengsaraan.

Di antara keduanya,
terkumpul berhala
kesyirikan,
yang disembah dipuja.

(Namun)
Berhala-berhala itu
menunggu masa untuk dibinasakan,
oleh manusia yang kenal,
serata-rata langit dan bumi,
yang nyata dan tersembunyi
pada dirinya.

Maka bersatulah sudahnya:
manusia itu lupa,
yang mana satu syurga,
yang mana satu neraka.