Monday, June 16, 2008

Alam dan manusia

Keluh,
rasa manusia,
yang merasai diri
tidak begitu istimewa.

Mahu jadi apa?
Burung? Gunung? Awan? Langit?
Sedangkan semua itu untuk manusia.

Malaikat bekerja pada manusia,
Iblis menggoda manusia,
Syurga dan neraka tempatnya manusia,
Tanah, api, angin dan air untuk manusia,
Haiwan dan tumbuhan untuk manusia,
apa saja di bumi untuk manusia,
bahkan matahari, bulan dan bintang untuk manusia,
seisi alam untuk manusia.

Siapakah yang lebih istimewa berbanding yang lain,
kalau bukan manusia?

Thursday, June 12, 2008

Nyanyi silu

Angin berlumba-lumba sesamanya
ke sana ke mari
tiada hirau,
sehingga terlanggar tubuh aku,
seorang penyanyi
keluh.

Hanya sesekali aku menyanyi lagu
puji,
yang cukup silu kedengaran,
kerana jarang-jarang dimelodikan,
kerana sering lupa baris-baris notanya,
kerana asyik terlelap membaca liriknya.

Bukan aku tidak tahu merdunya lagu seperti ini,
bila tersergah, terjaga,
cepatnya angin tiup
membawa lari sedar itu.

(untuk orang-orang haus minyak yang miskin)

Monday, June 9, 2008

Berkejaran

Sebenarnya,
aku idam mengejar kemewahan,
tetapi masih jauh tertinggal.

Bukan sebab ia laju,
kalau laju tiada siapa daya mengejar,
Bill Gates itu apa?

Bukan sebab aku zuhud,
kalau benar, aku yang dikejarnya.

Bukan sebab ia sukar,
kalau benar, siapa mahu kesukaran
setelah sulit mengejarnya?

Cuma aku yang perlahan.

Thursday, May 8, 2008

Di manakah keyakinan?

Setinggi-tinggi gunung,
yang sekeras-keras batu,
pernah runtuh,
tatkala seorang insan,
satu ketika dahulu
pernah mencari keyakinan.
Insan itu jatuh pengsan,
seraya meraung menangis
dalam kebahagiaan,
setelah bertemu keyakinan,
yang dicari juga oleh insan-insan,
sebelum dan selepas zamannya.

Cuma sayang sekali,
hari ini,
keyakinan untuk mencari sudah hilang,
jauh sekali bertemu keyakinan yang dirasai,
insan itu.

Friday, May 2, 2008

Sampai saat

Sebelum sampai saatnya,
kita tetap melalui,
satu-satu saat,
tanpa ketinggalan.

Thursday, April 17, 2008

Warna

Warna apakah untuk bayi itu?
Hitam?
Merah?
Hijau?
Biru?
Warna-warna yang nantinya membina tembok,
warna-warna yang meluaskan jurang,
warna-warna yang memalsukan,
warna-warna pertelagahan,
sedangkan bayi itu,
lahirnya putih.
Kenapa tidak warnakannya dengan putih?
Supaya pulangnya nanti bertemu dia,
seperti mana warna asalnya.

Monday, April 14, 2008

Erti gila

Selalukah kita menjerkah,
sesudah hilang daya tahan,
pada amarahnya rasa?

Aku selalu.
Dulu aku suka menjerkah pada,
sesiapa pun
tanpa kecuali.

Kenapa?

Rumitnya untuk menjawab,
tetapi aku rasa jawabnya hanya satu:
Ego.
Bagai iblis pada hari pertamanya Adam,
betapa angkuh tidak mahu tunduk.