Tuesday, December 11, 2007

Bengong

Siapa lagi yang lebih bengong
kalau bukan aku
yang bagai nak mati mengejar
yang sementara?

Siapa lagi yang lebih bengong
kalau bukan aku yang paling bengong
kerana tidak mengejar
yang abadi?

Patutnya aku mengejar yang sementara itu
untuk sampai ke abadi

Monday, November 26, 2007

Petala langit

Kau tidak akan dapat membayangkan
betapa luasnya tujuh petala langit,
sedang bintang-bintang yang seperti butir pasir itu,
belum dapat kau jejak,

Dan bintang-bintang itu
adalah hiasan,
di langit terdekat.

Thursday, November 15, 2007

dap dup dap

Bila jantung bercakap-cakap sendiri,
sementara lidah keras melungu,
bahasa apa yang nak ditutur
kalau bukan:

Dap dup dap
digigigigigidapup
dap dup dup
dip dip dip
dugugudapapa
dugudag dugudag...

Hoi!

dugugugugudaagagagaga...

Ewah!

dag dag dug!
Dogogoigiiigigidododdoo.

Dap dup dap.

Tuesday, November 13, 2007

Rimbun

Kekalutan di hujung sana,
adalah angkara haloba,
di bawah rimbun-rimbun
yang disangka redup.

Rimbunan berupa kertas,
yang senangnya hangus,
dijilat api,
dunia dan neraka.

Saturday, November 3, 2007

Roh

Manusia akan mati,
tetapi aku tidak.

Cuma aku kadangkala mati,
ketika manusia hidup.

Sunday, October 7, 2007

Tidur

Tidur itu jahat
apabila berlebih-lebihan
apabila tidak menjawab panggilan telefon ibumu
apabila marah-marah
apabila melupakan panasnya siang hari
apabila melayani syahwat

Tidur itu paling jahat
apabila hatimu juga tidur.

Sunday, September 16, 2007

Kotor kotor

Ini...
Ini...
pandang ini.

Tangan bersih yang dikotorkan,
kotor kotor
ini tangan bersih yang kotor
sudah kotor lagi dikotori.

Ini...
Ini...
bukan tangan,
tetapi kotoran.

Saturday, September 15, 2007

Cerita cerita

Mari sini anakku,
Bapak ada cerita mahu didendangkan,
sebelum anak tidur.

Cerita, cerita, cerita, cerita, cerita.

Anakku,
janganlah kau ikuti Bapak,
kerana Bapak suka bercerita,
cerita untuk anak-anak bersuka,
cerita dusta berlapik nista,
cerita suka membawa duka.

Ini yang anak-anak tak tahu:
Cerita Bapak tersimpan bencana.

Thursday, September 13, 2007

di sini di sana

Di atas atas
belum tentu tempat orang atasan.

Di bawah bawah
belum tentu milik orang bawahan.

Saturday, August 25, 2007

Pujian

Kata mereka,
pujian daripada mu itu yang didamba,
tetapi aku,
dahagakan pujian mereka.

Bodoh!!!

Sunday, August 5, 2007

Hu!

Aku tidak punyai apa-apa
tetapi kepunyaan dia.

"Kau juga sama!"

Kau kenal dia?

"Siapa?"

Hu!

Thursday, July 26, 2007

jangan sampaikan

Tolonglah aku,
jangan sampaikan padanya
rasa kecewa
yang sebanyak titisan air
dari lautan,
dari sungai,
dari tasik,
dari perigi,
dari embun,
dari hujan,
semenjak ia menitis
dari mulanya alam kau bentuk.

Jangan sampaikan padanya
rasa kecewa
yang sebanyak helaian daun,
dari belantara,
dari desa,
dari taman,
dari halaman,
dari setiap pepohonan,
yang gugur maupun yang utuh,
semenjak ia meliuk
dari mulanya alam kau bentuk.

Jangan sampaikan padanya,
rasa kecewa,
kerana aku tidak dapat mencintainya,
seperti dia mencintai aku.

Tolonglah aku,
sampaikan rasa cinta kepadaku.

(Selawat dan salam buat junjungan besar baginda)

Friday, July 13, 2007

Lemah

Kau takut tinggalkan tempat ini
kerana sayangkan keenakan?
Ataupun,
kerana takut berlumuran lumpur?

Tetapi kenapa belum dibersih-bersihkan lagi?

Atau mungkin pula,
kau tidak sabar meninggalkan tempat ini
kerana tidak tahan kepalsuan? Benarkah?
Ataupun sebenarnya,
kerana tidak tahan sengsara?

Lemah, lemah!

Cari

Sebelum ke mari
dia kenal segalanya,
Setelah ke mari,
dia lupa. dia hilang.

Hidupnya kini hanyalah mencari
dirinya yang hilang
sebelum dia kembali
ke asalnya.

Saturday, June 23, 2007

Langkah

TAP! TAP! TAP! TAP!
tap! tap! tap! tap!
tap! tap! tap!
tap! tap! tap!
tap! tap! tap!

Makin jauhkah aku dari mu?
Jangan jangan!

Friday, June 15, 2007

khabar dari sana II

Bila ditanyakan,
kenapa nanti ada yang dibaham kepanasan?
kenapa tidak waktu itu semuanya dibuai keasyikan?
kenapa lahirnya untuk diseksa?

Maka jawablah ini:
Sudah ada dibekalkan padanya sukma,
ilham kebaikan dan keburukan,
pilih,
sucikan atau kotorkan?

Wednesday, June 6, 2007

khabar dari sana I

Cantik manakah kau,
wahai si gadis
berwajah yakut dan marjan?

Saturday, June 2, 2007

sombong

Matahari, bulan, bintang, asteroid,
galaksi, bima sakti, marikh, musytari
kelajuan cahaya, setahun cahaya,
seluruh cakerawala, sekalian alam langit.

Ada bumi,
ada berjuta-juta butir, berbilion, bertrilion, bersexilion
pasir-pasir di lautan, daratan,
gunung ganang, bukit bukau,
Pasifik, Atlantik, Selat Melaka,
batu batan, galian, mineral, lumpur
hutan rimba, padang pasir.

ribuan tahun, pergantian zaman,
bilion manusia, bilion jantung, bilion bilion bilion
bilion rambut, urat, sel, saraf,
bilion bilion bilion bilion biliiiioooon!!!!!!

Aku, kamu, kamu, kamu, kamu dan bilion kamu,
Untuk apakah jadi sombong?

Friday, June 1, 2007

kejadian alam

1400 tahun dahulu,
sampai sudah perkhabaran,
kisah langit dan bumi berpisah.

Mereka yang tak mempercayainya (khabar itu)
dibungkam penyesalan,
setelah 1400 tahun kemudian,
wacana Big Bang ditemui.