Thursday, September 18, 2008

Makna

Apakah maknanya telinga ini?
Apakah maknanya mata ini?
Apakah maknanya lidah ini?
Apakah maknanya daya ini?
Apakah maknanya keinginan ini?
Seandainya tidak punya hidup dan pengetahuan?

Tuesday, September 9, 2008

Jalan banyak, tujunya satu

Dalam aku terperangkap dalam kesesakan,
di hadapan sekolah,
yang penuh anak-anak kecil,
belum tumbuh iblisnya,
ingin aku sampaikan:

Adik,
nanti kau akan bertemu simpang jalan,
jangan kau keliru simpang mana kau harus pilih,
asalkan kau tidak terkeluar batas jalan itu,
kerana mana-mana simpang pun,
selagi kau ingat tanggungan terbesar,
selagi kau tidak lupa diri,
selagi kau berhajat ke situ,
kau akan sampai.

Adik,
hati-hati dengan simpang yang lekas kau tertarik,
jalannya nampak cantik tanpa liku,
tetapi kau harus sedar bahaya mendatang,
kenderaannya laju belaka,
silap kelak kau dihentamnya.

Adik,
kadang-kadang jalan yang compang-camping,
lagi herot-berot itu,
kau terpaksa perlahan-lahan,
tetapi orang-orangnya lalu dengan cermat,
kau selamat.

Adik,
aku berpesan pada kau,
agar kau berpesan pada aku,
kerana kau di kalangan bukti,
ertinya fitrah akal.

Wednesday, August 27, 2008

Lagu Redha

Bukankah Dia lebih tahu apa di depan dan di belakang kita?
Maka diamkan lagu sedih,
lagu murung,
kelak sepertinya
tiada kita menadah,
barang yang dijanjikan sejak dulu,
sepertinya lagi
tiada redha.

Di hadapan sekalian alam pada tangan yang menciptanya,
betapa kita tampak lebih gagah,
dengan setitik keperkasaan dari tujuh lautan,
oleh kerana berdendang
lagu geram,
mengomel barang yang disampaikan
di telapak tangan yang menadah.

Oh, apakah bisanya
gagalnya barang yang dirancang,
- ini rangkap lagu rungut.

Kita yang menyanyikan lagu redha,
tiadalah kenal apa pun jua,
sehingga buta pada perbedaan,
murung atau girang,
sedih atau tawa,
geram atau suka.

Mari nyanyi lagu redha,
ajarkan aku sama.

Tuesday, August 26, 2008

Kitab

Dari kerdip mata sang anak
yang termanggu
mengepil kitab besar sekalian alam
tetap berjalan usai senja
siap siaga untuk dirotan gurunya.

Dari situ dia mengenal huruf
yang tiada terlintas
akan pengertiannya.

Si anak mulai dewasa,
tetap berjalan,
sambil terlupa,
kitab sebesar alam ada padanya
dan sekelilingnya.

Pengertian yang ditanggung ini
tidak mungkin difahami
akan pada huruf
yang semata-mata dilagukan
dihafali
akan padanya
tiada terbongkar.

Wednesday, July 30, 2008

Mesra II

Harum dan bunga,
Sakit dan saraf,
Panas dan api,
Gagah dan Badang,
Manis dan gula,
Pedas dan cili,

Dia dan aku?

Tuesday, July 1, 2008

Mesra

Bayang-bayang
tidak muncul tanpa jasad.
tidak berpisah ia,
tidak pula bercantum keduanya.

Monday, June 16, 2008

Alam dan manusia

Keluh,
rasa manusia,
yang merasai diri
tidak begitu istimewa.

Mahu jadi apa?
Burung? Gunung? Awan? Langit?
Sedangkan semua itu untuk manusia.

Malaikat bekerja pada manusia,
Iblis menggoda manusia,
Syurga dan neraka tempatnya manusia,
Tanah, api, angin dan air untuk manusia,
Haiwan dan tumbuhan untuk manusia,
apa saja di bumi untuk manusia,
bahkan matahari, bulan dan bintang untuk manusia,
seisi alam untuk manusia.

Siapakah yang lebih istimewa berbanding yang lain,
kalau bukan manusia?

Thursday, June 12, 2008

Nyanyi silu

Angin berlumba-lumba sesamanya
ke sana ke mari
tiada hirau,
sehingga terlanggar tubuh aku,
seorang penyanyi
keluh.

Hanya sesekali aku menyanyi lagu
puji,
yang cukup silu kedengaran,
kerana jarang-jarang dimelodikan,
kerana sering lupa baris-baris notanya,
kerana asyik terlelap membaca liriknya.

Bukan aku tidak tahu merdunya lagu seperti ini,
bila tersergah, terjaga,
cepatnya angin tiup
membawa lari sedar itu.

(untuk orang-orang haus minyak yang miskin)

Monday, June 9, 2008

Berkejaran

Sebenarnya,
aku idam mengejar kemewahan,
tetapi masih jauh tertinggal.

Bukan sebab ia laju,
kalau laju tiada siapa daya mengejar,
Bill Gates itu apa?

Bukan sebab aku zuhud,
kalau benar, aku yang dikejarnya.

Bukan sebab ia sukar,
kalau benar, siapa mahu kesukaran
setelah sulit mengejarnya?

Cuma aku yang perlahan.

Thursday, May 8, 2008

Di manakah keyakinan?

Setinggi-tinggi gunung,
yang sekeras-keras batu,
pernah runtuh,
tatkala seorang insan,
satu ketika dahulu
pernah mencari keyakinan.
Insan itu jatuh pengsan,
seraya meraung menangis
dalam kebahagiaan,
setelah bertemu keyakinan,
yang dicari juga oleh insan-insan,
sebelum dan selepas zamannya.

Cuma sayang sekali,
hari ini,
keyakinan untuk mencari sudah hilang,
jauh sekali bertemu keyakinan yang dirasai,
insan itu.

Friday, May 2, 2008

Sampai saat

Sebelum sampai saatnya,
kita tetap melalui,
satu-satu saat,
tanpa ketinggalan.

Thursday, April 17, 2008

Warna

Warna apakah untuk bayi itu?
Hitam?
Merah?
Hijau?
Biru?
Warna-warna yang nantinya membina tembok,
warna-warna yang meluaskan jurang,
warna-warna yang memalsukan,
warna-warna pertelagahan,
sedangkan bayi itu,
lahirnya putih.
Kenapa tidak warnakannya dengan putih?
Supaya pulangnya nanti bertemu dia,
seperti mana warna asalnya.

Monday, April 14, 2008

Erti gila

Selalukah kita menjerkah,
sesudah hilang daya tahan,
pada amarahnya rasa?

Aku selalu.
Dulu aku suka menjerkah pada,
sesiapa pun
tanpa kecuali.

Kenapa?

Rumitnya untuk menjawab,
tetapi aku rasa jawabnya hanya satu:
Ego.
Bagai iblis pada hari pertamanya Adam,
betapa angkuh tidak mahu tunduk.

Wednesday, April 9, 2008

Aduhai...

Aduhai,
enaknya roti kosong
sebagai makan malam,
untuk pendatang asing
jiran-jiranku,
setiap hari.

Wednesday, April 2, 2008

Sama tak serupa

Dalam cili ada pedas,
dalam pedas tiada cili,
Dalam tebu ada manis,
tiada tebu di dalam manis.

Tiada pedas tanpa cili,
tiada manis tanpa tebu.

Tiada aku kerana dia,
mustahil aku tanpa dia,
Kasih aku kasih dia,
cinta aku cinta dia.

Friday, March 21, 2008

Sebaik-baik kejadian

Dalam manusia ada syurga
yang menyendiri.
Dalam manusia ada neraka
yang tersendiri.
Syurga itu kedamaian,
neraka itulah kesengsaraan.

Di antara keduanya,
terkumpul berhala
kesyirikan,
yang disembah dipuja.

(Namun)
Berhala-berhala itu
menunggu masa untuk dibinasakan,
oleh manusia yang kenal,
serata-rata langit dan bumi,
yang nyata dan tersembunyi
pada dirinya.

Maka bersatulah sudahnya:
manusia itu lupa,
yang mana satu syurga,
yang mana satu neraka.

Tuesday, March 11, 2008

Benar-benar

Di sini, orang-orangnya kata merekalah yang benar,
Di sana, mereka kata di sini tidak benar (bahkan di sana benar)
Di mana-mana, orang kata, diri mereka yang benar.

Sedang bertelingkah tentang kebenaran,
mereka telah lupa,
sebenar-benar kebenaran.

Thursday, February 28, 2008

Nama mu

Ku hirup nafas yang tertulis nama mu,
jantung ku berdegup menyebut nama mu,
darah yang tersebar menanggung nama mu,
deras menyusup di rongga-rongga,
mengalir ke seluruh anggota ku.

Aku,
tercatat nama mu.
Aku,
menumpang nama mu.
Aku,
tiada lain, hanyalah nama mu.

Tuesday, February 19, 2008

Hakikat

Di pipimu mengalir sesuatu
yang basah,
meleleh dari hatimu
yang ketakutan.
Betapa aku cemburu,
melihat kau menikmati
hangatnya air itu.

Friday, February 8, 2008

Hilang

Aku mahu bebas bagai burung,
Aku mahu tegap seperti gunung,
Aku mahu tinggi melangit,
Aku mahu berkilau bak mutiara,
Aku mahu dingin bagai salju,
Aku mahu kaya sebukit emas,
Aku mahu setampan rupawan,
Aku mahu segalanya...

"Bila kau mahu dia?"

Sungguh aku celaka,
bila tidak mahu,
apa yang dia mahu!

Thursday, January 31, 2008

Legi urip

Dhalan ini mareng endi?
Seko endi?
Arek lungo endi?
Ngawe opo urip iki?

Owah iki, we'kea sopo?

Mbien, saiki, sok emben,
Kapan-kapan,

Nggor...

"Rojo kabeh alam!"

Wednesday, January 30, 2008

Dalam dalam

Kau datangkan aku,
untuk mencari mu,
yang berselindung,
di sebalik aku.

-Sani Sudin-

Wednesday, January 23, 2008

Sabar

Dari setitis ke gumpalan darah,
darah ke gumpalan daging,
daging ke selingkar tulang belulang,
tulang itu lalu dibaluti daging,
kemudian siaplah sesusuk tubuh,
yang hidupnya penuh terburu-buru,
sedangkan asal kejadiannya begitu tersusun.

Sunday, January 6, 2008

Maut

Setiap hari,
aku mengejar maut.
Kau pun!

Thursday, January 3, 2008

Jiwa

Antara jerih dan maung,
perit dan pahit,
antara bilau dan biru,
kacau dan haru,
tiada yang lebih derita,
sebanding jiwa yang lapar.